Peranan Keluarga Dalam Usaha Memastikan Remaja Menggunakan Media Sosial Ke Arah Yang Lebih Positif

Peranan Keluarga Dalam Usaha Memastikan Remaja Menggunakan Media Sosial Ke Arah Yang Lebih Positif

Pendahuluan

Tidak dapat dinafikan bahawa pada era yang moden ini, media sosial telah mendapat sambutan yang hangat sekali di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana media sosial merupakan sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Blog, rangkaian sosial dan wiki juga merupakan bentuk media sosial yang paling umum digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Definisi telah diberi oleh Andreas Kaplan dan Michael Haenlein sebagai “sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0, dan yang membolehkan penciptaan dan pertukaran. Di samping itu juga, jaringan sosial merupakan laman yang membolehkan setiap orang mampu membuat laman sesawang secara peribadi, kemudian berhubung dengan rakan-rakan untuk berkongsi maklumat dan berkomunikasi. Antara jaringan sosial yang sering digunakan adalah Facebook, Myspace, Twitter dan sebagainya. Jika media tradisional menggunakan media cetak dan media penyiaran, maka media sosial menggunakan Internet. Media sosial mengajak sesiapa sahaja yang berminat untuk berhibur dengan memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka, memberi komen, serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad.

            Pada pendapat saya, ibu bapa memainkan peranan yang amat signifikan untuk memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan media sosial. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu media sosial contohnya seperti Internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus provokasi di internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang termaktub dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan media sosial dapat mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan media sosial.

                     Tidak dapat dikesampingkan juga, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menggunakan media sosial secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka dengan medium-medium pembelajaran menerusi media sosial. Seperti yang ditegaskan, media sosial sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari segi pendidikan. Hari ini, kemajuan media sosial juga selaras dengan kemajuan teknologi seperti “tablet” dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari Internet. Oleh hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak. Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan Internet, namun malangnya kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna media sosialpada masa ini. Sebaik-baiknya anak-anak didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangya mereka akan mula memanfaatkan penggunaan media sosial serta bijak . Ibu bapa juga tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari Internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya peranti-peranti di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui Internet kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan penggunaan media sosial.

        Bagi saya, adik-beradik yang lebih tua seperti abang dan kakak memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha untuk remaja menggunakan media sosial ke arah yang lebih positif. Abang atau kakak boleh menjadi suri teladan kepada adik-adik yang lebih muda. Hal ini kerana adik-adik selalunya akan mencontohi tingkah laku abang atau kakak mereka. Selain itu, abang atau kakak juga seharusnya menasihati adik-adik mereka dengan penuh kasih sayang apabila melihat adik-adik mereka menggunakan media sosial ke arah perkara yang negatif. Mereka tidak seharusnya memekakkan telinga dan membutakan mata kerana perbuatan negatif yang dilakukan oleh adik-adik mereka boleh menjatuhkan maruah keluarga. Seterusnya, dalam menjaga hubungan antara adik-beradik, kita perlu menititikberatkan sifat kasih sayang dan rasa hormat antara satu sama lain. Sebagai contoh, adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakak serta menerima segala teguran dengan hati yang terbuka.

          Lontaran idea seterusnya ialah datuk dan nenek seharusnya menerapkan didikan agama yang secukupnya kepada remaja.Pendidikan agama mesti dilaksanakan oleh datuk dan nenek  di peringkat awal usia anak-anak bagi membolehkan iman mereka dibentuk dan diperkukuhkan menjadi insan bertakwa. Datuk dan nenek lebih makan garam dan remaja akan lebih mendengar dan menurut nasihat mereka.Jika perkara ini tidak dilakukan, remaja akan mudah terpengaruh dengan media sosial yang negatif seterusnya terjebak dalam kancah gejala sosial dan jenayah yang akhirnya menyusahkan keluarga. Pendidikan agama mestilah menjadi teras dan benteng kepada pembentukan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Hal ni dikatakan demikian kerana apabila jiwa remaja ni diterapkan dengan nilai-nilaiagama yang tinggi, mereka akan dapat menepis segala laman sosial yang negatif seterusnya menggunakan media sosial dengan berhemah.  Tanpa pendidikan agama, anak-anak tidak mempunyai benteng yang kukuh bagi menghadapi keruntuhan moral di luar yang semakin berleluasa. Jelaslah bahawa, peranan datuk dan nenek amat penting dalam usaha untuk memastikan remaja sentiasa berada di landasan yang betul dan menggunakan media sosial ke arah yang positif sebagai persediaan melahirkan modal insan berjaya di dunia dan akhirat.

            Secara tuntasnya, keluarga memainkan peranan dominan dalam usaha mendidik dan mengasuh remaja memanafaatkan penggunaan media sosial. Perkhidmatan media sosial sememangnya memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada keluarga itu sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik remaja dalam memanfaatkan penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua ahli keluarga membuktikan bahawa media sosial sangat penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan ahli keluargayang lain  tidak turut turun padang dalam membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah-masalah penyalahgunaan media sosial dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan mudah dicantas, dan secara tidak langsung, negara kita akan dipenuhi dengan generasi-generasi yang berguna dan berfikiran hadapan.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s